- 10 Januari - 3 Februari 2020 jam 12:00 tengahari: TIADA pertambahan kes positif 2019-nCoV. Jumlah kumulatif kes positif 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) yang dilaporkan kekal lapan (8) kes; iaitu tiga (3) kes yang terdahulu dilaporkan dalam kalangan kes Patient-Under Investigation (PUI) jangkitan 2019-nCoV dan lima (5) kes dalam kalangan kontak rapat. Kesemua kes positif 2019- nCoV ini adalah warganegara China.
- 3 Februari 2020 jam 12:00 tengahari: Jumlah kumulatif kes PUI bagi 2019-nCoV adalah 192 orang; di mana 105 orang warganegara Malaysia, 82 orang warganegara China dan masing-masing satu (1) warganegara Australia, Republik Korea, Jordan, Brazil dan Thailand. Tiga (3) kes telah disahkan positif 2019-nCoV, 173 kes negatif dan 16 masih menunggu keputusan makmal. Kontak rapat kepada kes positif 2019-nCoV kekal seramai 32 orang. Daripada jumlah ini, seramai lima (5) kes telah disahkan positif jangkitan 2019-nCoV dan dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh (4) dan Hospital Permai (1). Kesemua kes ini adalah dalam keadaan stabil. Manakala ujian makmal ke atas 27 kontak rapat lain didapati negatif jangkitan 2019-nCoV.
Misi Bantuan Kemanusiaan diterajui oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama-sama dengan Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), AirAsia, Malaysia Airport Berhad, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan lain-lain agensi.
Dalam usaha untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang kini berada di Wuhan, China ke tanah air melalui misi tersebut – KKM akan memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi akan dipatuhi sepenuhnya pada setiap masa dalam melaksanakan misi ini. Misi tersebut terbahagi kepada empat (4) fasa, iaitu sebelum berlepas ke Wuhan, semasa misi membawa pulang, ketibaan di tanah air dan seterusnya kemasukan semua individu yang terlibat ke Pusat Pemantauan yang dikenapasti.
Mereka yang akan dibawa pulang hanyalah mereka yang didapati sihat setelah melalui saringan kesihatan (exit screening) yang akan dilakukan oleh Pihak Berkuasa Kesihatan Negara China di Lapangan Terbang Antrabangsa Wuhan Tianhe. Mereka yang didapati bergejala akan dibawa ke fasiliti kesihatan di Wuhan untuk menerima rawatan selanjutnya.
Seterusnya pada fasa ketibaan, pesawat yang membawa pulang rakyat Malaysia akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Bagaimanapun, kesemua penumpang tidak akan memasuki bangunan terminal KLIA. Mereka akan turun dari pesawat dan terus menaiki bas khas yang seterusnya akan membawa mereka ke bangunan Air Disaster Unit (ADU) untuk proses dikontaminasi dan saringan kesihatan (entry screening).
Mereka yang didapati bergejala akan dibawa terus ke hospital rujukan 2019-nCoV manakala mereka yang tidak bergejala akan dibawa ke Pusat Pemantauan. Mereka hanya akan dibenarkan untuk pulang ke kediaman masing-masing selepas disahkan sihat dan didapati negatif jangkitan 2019-nCoV.
KKM ingin memohon semua rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan misi ini berjalan lancar dan keselamatan semua yang dibawa pulang dari Wuhan serta pasukan misi dan krew terlibat.
No comments:
Post a Comment